Oleh : Marlinawaty Hussin / Foto : Mohammad Hasif Matzin, Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
BERAKAS, Selasa, 28 April. - Negara Brunei Darussalam (NBD) hari ini menghoskan Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN-Kesatuan Eropah (EU) Ke-25 di Pusat Persidangan Antarabangsa, di sini.
Mesyuarat berkenaan dipengerusikan bersama oleh Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd. Yusof, selaku Penyelaras Negara bagi Hubungan Dialog ASEAN - EU; dan Wakil Tertinggi bagi Hal Ehwal Luar Negeri dan Dasar Keselamatan EU merangkap Naib Presiden Suruhanjaya Eropah, Puan Yang Terutama Kaja Kallas.
Mesyuarat berkenaan dihadiri oleh Menteri-menteri Luar Negeri dan wakil-wakil dari Negara-negara Anggota ASEAN dan EU serta Setiausaha Agung ASEAN.
Semasa mesyuarat berkenaan, para menteri menegaskan semula kerjasama erat yang telah lama terjalin antara ASEAN dan EU serta bertukar-tukar pandangan mengenai usaha memperkukuh kerjasama merentasi tonggak politik-keselamatan, ekonomi dan sosiobudaya.
Mesyuarat berkenaan juga telah meluluskan Kenyataan Bersama Menteri-menteri bagi Mesyuarat Menteri - menteri ASEAN-EU kali Ke-25.
Dalam ucapan pembukaan, Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II menekankan hubungan kerjasama ASEAN - EU yang kukuh dan berkekalan yang telah dibina sejak hampir lima dekad berlandaskan kepentingan bersama serta komitmen terhadap keamanan serantau, pembangunan mampan dan multilateralisme.
Yang Berhormat turut menekankan perkembangan kerjasama yang berterusan merentasi ketiga-tiga tonggak Komuniti ASEAN termasuk dalam bidang keselamatan maritim, keselamatan siber, ekonomi digital, teknologi hijau, hubungan antara rakyat, serta daya tahan rantaian bekalan dan pendidikan tinggi.
Yang Berhormat seterusnya menegaskan bahawa dalam keadaan ketidaktentuan global yang semakin meningkat serta ketegangan geopolitik, sistem antarabangsa berasaskan peraturan kini berdepan tekanan yang ketara, dan pendekatan untuk mengekalkan keadaan sedia ada tidak lagi memadai.
Sehubungan dengan itu, Yang Berhormat mengulangi kepentingan pelaksanaan undang-undang antarabangsa secara konsisten dan tanpa diskriminasi, memandangkan ASEAN dan EU mempunyai tanggungjawab serta keupayaan untuk berperanan sebagai tunjang dalam memastikan kestabilan serta mewujudkan persekitaran yang lebih teratur dan dapat dijangka.
Menteri-menteri ASEAN dan EU juga bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa, termasuk situasi di Ukraine dan Timur Tengah, yang melibatkan Gaza, Lubnan dan Republik Islam Iran serta menegaskan semula komitmen bersama untuk mengekalkan keamanan, kestabilan dan kemakmuran di rantau ini dan di peringkat global.
Mesyuarat berkenaan turut menantikan Sambutan Ulang Tahun Ke-50 Hubungan Dialog ASEAN - EU pada 2027, dan menyatakan keyakinan terhadap pengukuhan berterusan kerjasama erat antara ASEAN dan EU.